Selamat Datang Siswa Siswi Baru Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia Sidang Akademik 2012/2013
04 September 2012 (Selasa), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah meraikan 86 orang pelajar baru bagi Program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia bagi Sidang Akademik 2012/2013. Daripada bilangan tersebut seramai 38 adalah terdiri daripada siswa dan 48 orang adalah siswi.
Sesi bergambar staf PPKK dan pelajar baru sidang akademik 2012/2013
Para siswa siswi telah diraikan semasa program Hari Bersama Pusat Pengajian di Bilik Kuliah (KCK 2), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Sempena majlis sambutan siswa baru ini, satu taklimat dan ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Profesor Azlina Harun @ Kamaruddin, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Menerusi ucapan yang telah disampaikan, Dekan telah memberikan pengenalan sepintas lalu tentang penubuhan dan perkembangan Pusat Pengajian, status Universiti APEX yang telah dianugerahkan oleh USM, misi dan visi Pusat Pengajian, pengenalan kepada pensyarah dan staf pelaksana, kedudukan dan pencapaian cemerlang pelajar dan staf Pusat Pengajian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Taklimat Dekan semasa majlis sambutan Siswa Lestari 2012
Amanat paling signifikan yang disampaikan oleh Profesor Azlina ialah menyeru semua pelajar agar dapat berkerja keras, serius di dalam melaksanakan tugas-tugas akademik dan berusaha dengan gigih untuk menimba ilmu pengetahuan mulai daripada tahun pertama pengajian. Beliau juga telah memberikan suntikan motivasi kepada pelajar supaya mereka dapat mencapai PNGK yang cemerlang mulai dari semester pertama. Menurut beliau hanya dengan keputusan yang cemerlang sahaja para pelajar dapat menjamin kerjaya yang baik selepas tamat pengajian memandangkan cabaran untuk mendapatkan profesion dan kerjaya yang berprestij menjadi semakin kompetitif dan sukar. Di dalam ucapan yang penuh bersemangat itu, Profesor Azlina turut menyeru pelajar agar dapat menjadikan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia sebagai medan untuk menimba ilmu pengetahuan akademik, membina keyakinan dan potensi diri dan juga mengasah bakat dan kepimpinan agar menjadi graduan yang cemerlang di masa depan kelak.
Taklimat keselematan dan lawatan makmal di PPKK
Melalui program Hari Bersama Pusat Pengajian ini, para pelajar berpeluang untuk berinteraksi dengan para pensyarah, staf pentadbiran dan staf teknikal. Selain itu, taklimat akademik, taklimat keselamatan dan lawatan ke makmal-makmal telah diadakan. Dikesempatan ini, semua warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia ingin mengucapkan Selamat Datang kepada pelajar-pelajar baru dan semoga dapat mencapai kecemerlangan di dalam akademik dan menjadi insan yang berwawasan dan gemilang.
Sesi pendaftaran kursus di makmal komputer PPKK