Lagi Aktiviti Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
2 April 2014. Selaras dengan aspirasi Pusat Pengajian untuk membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, satu sesi taklimat tentang keselamatan khususnya daripada aspek kebakaran dan cara-cara pencegahannya di tempat kerja telah diadakan di Dewan Kuliah 5, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Kejuruteraan mulai jam 2.30 petang untuk semua warga PPK Kimia termasuk pelajar Ijazah Pertama dan Ijazah Tinggi. Taklimat yang memakan masa hampir satu jam tersebut telah dikendalikan oleh United Asia Fire Prevention Service Sdn. Bhd.
Dalam taklimat yang disampaikan, warga PPK Kimia telah didedahkan dengan dua perkara asas iaitu, pertama, senario kekerapan kejadian kebakaran di Malaysia sama ada di rumah, di tempat kerja dan juga kebakaran akibat kemalangan jalanraya dengan menunjukkan slide gambar-gambar kejadian dan impak serta kesan ke atas mangsa. Manakala yang keduanya, penjelasan lebih menjurus kepada kaedah atau cara yang betul dan lebih selamat dalam menangani, mengawal dan memadamkan api daripada terus merebak dan juga cara untuk mengurangkan kesan kecederaan atau parut pada mangsa yang selamat.
Dengan berlangsungnya taklimat tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran dan kefahaman warga PPK Kimia tentang peri pentingnya ciri-ciri keselamatan dipandang serius, malah yang lebih utama jadikanlah ia satu amalan yang tiada sempadannya.
Teks: Norsiah Abd Rahman
Foto: Hisyam Adnan