Skip to main content

Penyelidik USM Hasilkan Cat Serap Air Sisa Bahan Buangan Berwarna

dr.suzy-cat
 
PULAU PINANG 13 Jun - Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan sejenis cat yang mampu menyerap air sisa bahan buangan berwarna daripada sektor perindustrian terutama tekstil.

Ketua penyelidik, Dr. Suzylawati Ismail berkata, di negara ini, selain lebih 1,500 perusahaan tekstil dan pewarnaan, air sisa bahan buangan berwarna juga turut dihasilkan oleh industri pembuatan kertas, plastik, makanan, farmaseutikal dan kilang minyak sawit.

Menurut Suzylawati, bahan buangan yang kebiasaannya bertoksik itu dilepaskan ke dalam ekosistem seterusnya memberi kesan yang membimbangkan kepada pencemaran estetik selain gangguan persekitaran akuatik.

"Cat mesra alam yang dinamakan Paintosorp ini dihasilkan sebagai kaedah rawatan penyingkiran warna yang mengaplikasikan konsep baharu penggunaan bahan lapisan nipis bersalut yang mampu menyerap sisa berwarna.

"Paintosorp boleh disapu pada dinding sistem atau saluran pembetungan sedia ada. Jadi, sistem pencegahan pencemaran ini tidak memerlukan sebarang unit rawatan baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kata Suzylawati, pelbagai kaedah rawatan sedia ada didapati mempunyai pelbagai kelemahan seperti penghasilan enap cemar yang banyak, kos pelupusan sisa yang tinggi, kurang kemudahan dalam proses penjanaan semula, memakan masa yang panjang dan rawatan tidak berkesan.

"Jadi, Paintosorp telah dirumuskan untuk mengatasi pelbagai kekurangan ini yang mana menggunakan konsep aplikasi penyerapan yang inovatif, tidak memerlukan tambahan kemudahan dan boleh digunakan pada pelbagai permukaan seterusnya melibatkan penggunaan kos yang rendah," katanya.

Selain itu, jelas Suzylawati, keberkesanan cat penyerap warna tersebut juga disebabkan kandungan bahan buatannya yang menggunakan sumber semula jadi.

Tambahnya, Paintosorp dihasilkan melalui penyelidikan selama lapan bulan dan setakat ini melibatkan kos sebanyak RM50,000 dengan setiap satu kilogram cat itu hanya menggunakan kos tidak lebih RM1.

Menurut beliau, hasil kajian itu juga berjaya memenangi pingat emas dalam Pameran
Penciptaan, Inovasi Dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke 25 yang berlangsung pada 8 hingga 10 Mei lalu di Kuala Lumpur.


Sumber asal :http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140614/wu_01/Penyelidik-USM-hasilkan-cat-serap-air-sisa-bahan-buangan-berwarna#ixzz34x33F5nl
© Utusan Melayu (M) Bhd