Skip to main content

69 Pelajar Terbaik Kimia Seluruh Negara Mulakan Pengajian Di PPK Kimia USM

siswalestari2014-4

11 September 2014 - Seramai 69 siswa siswi baru yang menjurus dalam bidang kimia dari seluruh Negara telah dirai dan disantuni oleh tenaga pengajar dan staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPK Kimia) dalam satu Majlis Sambutan Siswa Lestari pada 4 September yang lalu, bertempat di bilik Seminar/KCK 2, PPK Kimia, Kampus Kejuruteraan, USM.

siswalestari2014-dekan

"Anda semua adalah yang terbaik daripada puluhan yang terbaik yang telah terpilih", ujur Dekan PPK Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam memulakan ucapan alu-aluannya. Tambah beliau lagi, "Saya amat berbangga dan mengharapkan serta berdoa' agar kehadiran saudara/saudari pada pagi ini akan menjadi titik permulaan yang akan melonjak, melestari dan mewarnai kejayaan demi kejayaan saudara/saudari di hari muka".

"Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya", "Rome wasn't built in a day", maka saya menyeru kepada semua saudara/saudari, berusahalah bersungguh-sungguh selama empat tahun saudara/saudari berada di sini, ingatlah hari-hari mendatang penuh dengan onak dan duri, cabaran dan dugaan silih berganti dan jangan sesekali kenal erti serik dalam menuntut ilmu. Kami hanya menunjuk 'jalan', ruang dan peluang, selebihnya terserlah kepada daya usaha dan potensi diri saudara/saudari dalam mereka bentuk destinasi sendiri", nasihat beliau lagi.

Bagi menjamin 'survival' dan daya saing siswa siswi baru dalam mengharungi tempoh pengajian selama empat tahun, Profesor Dr. Azlina dengan penuh berhemah merungkai dan mempamerkan senario keutuhan pengisian kurikulum dan kehebatan perjalanan Pusat Pengajian melalui pendekatan yang 'mesra' dan mudah difahami dan diselami oleh setiap siswa siswi baru.

siswalestari2014-1

siswalestari2014-2

Tuntasnya, beliau telah mengupas dan memberi fokus satu persatu perkara berhubungan dengan pengisian kurikulum yang berpaksikan Outcome Based Education (OBE), Objektif Program (PEO) dan Hasilan Program (PO), akreditasi program dari EAC dan IChemE, anjakan paradigm dalam menangani cabaran dalam usaha pelajar mendapatkan gelaran Jurutera Kimia dan tidak terkecuali tuntutan penglibatan dan keaktifan pelajar bagi mengembalikan kecemerlangan dalam meraih kejayaan dalam pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain daripada penjelasan perkara-perkara asas tersebut, sepertimana kelaziman yang baru datang bertandang, para siswa siswi turut diperkenalkan dengan warga PPK Kimia bermula dengan tenaga-tenaga pakarnya, tenaga pengajarnya sehinggalah membawa kepada staf teknikal dan pentadbirannya, bak kata pepatah 'Tak kenal, maka tak cinta'.

siswalestari2014-3

Selain amanat daripada Dekan, para siswa siswi juga turut dibekalkan panduan 'jalan' melalui taklimat Program Pengajian yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik), Profesor Madya Dr. Muhammad Zailani Abu Bakar dan kemudiannya disusuli dengan taklimat Asas Keselamatan Makmal yang disampaikan oleh Dr. Tan Soon Huat, Pengerusi Rancangan (Infrastruktur).

siswalestari2014-taklimat

Selesai sahaja kedua-dua taklimat tersebut, para siswa siswi telah menjalani aktiviti semakan senarai pendaftaran kursus yang telah disediakan oleh pihak Urus setia dan proses pengisian OBE Profiling yang dikendalikan oleh Dr. Suhairi Abd Sata di bilik Makmal Komputer.

siswalestari2014-5 siswalestari2014-6
siswalestari2014-obe

Di akhir program, mereka telah dibawa melawat dua buah makmal, Makmal Unit Operasi dan Makmal Kawalan iaitu dua buah makmal di antara 8 buah makmal yang mana mereka akan 'berkampung' di makmal-makmal tersebut untuk tempoh empat tahun yang akan datang.

siswalestari2014-7

siswalestari2014-8

Sebagaimana adat orang kita, yang berkunjung ke rumah, tidak sah pulang tanpa dijamu makan, maka bagi mengiratkan lagi ikatan, para siswa siswi turut dijamu makan tengah hari bersama warga PPK Kimia sebelum mereka kembali ke Desasiswa masing-masing.

Kepada semua siswa siswi baru, warga PPK Kimia merakamkan ucapan "Selamat Maju Jaya" dan selamat mengharungi suka duka bersama kami untuk tempoh empat tahun yang akan datang.

Teks: Mokhtar Alfakari Anurbek
Foto: Mohd Hisyam Adnan