Usm Bangga Kejayaan Profesor Dr. Abdul Latif
PULAU PINANG, 5 Sept. 2014 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) berbangga dengan kejayaan Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad sebagai salah seorang penerima Anugerah Merdeka (Merdeka Award) 2014.
"Beliau adalah di antara ahli akademik muda yang sedang meningkat naik dan dipupuk untuk meneruskan legasi pembangunan akademik negara pada masa hadapan," kata Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman.
Abdul Latif yang dilahirkan di Beranang Selangor pada 4 Januari 1967 sebelum ini diiktiraf sebagai salah seorang saintis dunia yang mempunyai minda paling berpengaruh dan pernah menjadi Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Dekan Penyelidikan, Sains Fundamental.
Tokoh akademik ini jugaterlibat dengan pelbagai jawatankuasa termasuk membantu memupuk budaya penyelidikan saintifik dalam kalangan mahasiswa melalui pertandingan penyelidikan dan inovasi pada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.
"Saya secara peribadi dan bagi pihak seluruh warga USM berbangga dan mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan yang diterimanya serta kita tentunya amat bersyukur dengan kejayaannya ini," tambah Omar.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan turut merakamkan tanniah kepada Abdul Latif.
"Ahli-ahli Lembaga Gabenor USM berbangga dan mengharapkan pencapaian beliau akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk bekerja keras mencapai kecemerlangan," kata Zulkefli.
Beliau juga berharap pengalaman, pemikiran dan kejayaan Abdul Latif akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa USM untuk dihormati dan disanjungi di peringkat nasional mahu pun antarabangsa. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa.
Artikel asal : http://www.usm.my
Maklumat lanjut : http://www.merdekaaward.my/News/Six-Outstanding-Individuals-Conferred-Prestigious.aspx
Artikel asal : http://www.usm.my
Maklumat lanjut : http://www.merdekaaward.my/News/Six-Outstanding-Individuals-Conferred-Prestigious.aspx