Acara Walkrobik Dan Sambutan Kemerdekaan - Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016
4 September 2015, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah ditugaskan untuk mengendalikan acara Walkrobik dan Sambutan Kemerdekaan dalam program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016. Satu jawatankuasa kerja telah dibentuk oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia bagi tujuan ini dengan mendapat kerjasama dari BHEPA, Pejabat Pengarah kampus, Jabatan Pembangunan, Jabatan Keselamatan dan Unit Kesihatan.
Acara yang disertai oleh pelajar tahun 1 dan sebilangan warga staf Kampus Kejuruteraan mengikut Pusat Pengajian ini menggabungkan aktiviti senamrobik dan perarakan mengelilingi Kampus dengan bertemakan ”Sehati Sejiwa” bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 58 yang baru berlalu.
Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia telah mengambil inisitiaf untuk menaikkan semangat kemerdekaan setiap kontigen dengan menyediakan beca, basikal dan kenderaan pacuan 4 roda yang dihiasi dengan deretan bendera negara serta ”sekuntum bunga raya gergasi”. Lagu-lagu berunsur patriotisma telah dipilih untuk dialunkan semasa acara perarakan.
Kemeriahan program diteruskan dengan acara perarakan kontigen mengelilingi Kampus mengikut laluan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Acara Merdeka Walkrobik ini dimulakan dengan upacara pelepasan oleh Pengarah Kampus. Perarakan didahului oleh kenderaan berhias dan Pengarah Kampus, Dekan-dekan, staf akademik serta bukan akademik Pusat-pusat Pengajian. Kontigen pelajar menyusuli kumpulan ini sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan penuh semangat yang turut disulami dengan sorakan. Perjalanan Merdeka Walkrobik ini telah berjalan lancar dengan kerjasama Jabatan Keselamatan USM yang bertugas mengawal lalulintas bersama pasukan Perubatan dari Pusat Sejahtera.
Merdeka Walkrobik sejauh 1.9 km diakhiri acara kemuncak iaitu upacara penyampaian hadiah untuk enam kategori yang dinilai sepanjang program dijalankan. Penilaian Kontingen telah dibuat oleh pihak pelajar PPSL dengan Kategori “Perbarisan Terbaik” telah dimenangi oleh PPK Kimia, “Penyertaan Terbaik” dimenangi oleh PPK Elektrik dan Elektronik, “Sorakan Patriotik Terbaik” dimenangi oleh PPK Bahan dan Sumber Mineral, Kontingen Paling Sporting" dimenangi oleh PPK Aeroangkasa, Kontingen “Paling Kreatif” pula dimenangi oleh PPK Awam dan Kontingen “Senamrobik Terbaik” dimenangi oleh PPK Mekanikal dan yang mendapat markah tertinggi ialah PPK Bahan dan Sumber Mineral. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus sambil diiringi oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Awam.
Majlis bersurai pada jam 6.40 petang dengan jamuan ringan kepada VVIP yang disediakan oleh BHEPA.
Text : Sekreteriat Jawatankuasa Penganjur / Foto : En. Hisyam Adnan