Pensyarah PPKK Terima Anugerah Antarabangsa
NIBONG TEBAL, 23 Disember 2015 – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan mengharumkan nama universiti apabila meraih anugerah bertaraf dunia melalui inovasi penyelidikan berimpak tinggi.
Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia itu sekali lagi menjulang nama USM di pesada antarabangsa dengan menerima anugerah “World Scientist Awards 2015” oleh badan inovasi berprestij Korea.
Abdul Latif menerima anugerah tersebut berdasarkan salah satu inovasi penyelidikan beliau bertajuk “Production of L-homophenylalanine as Cardio Drug Precursor via Enzymatic Membrane Bio Reactor”.
“Inovasi ini adalah mengenai penghasilan bahan kimia asas L-homophenylalanine sebagai bahan untuk menghasilkan ubat bagi merawat pesakit jantung dan ianya dihasilkan menggunakan teknologi terkini melalui kaedah bioreaktor membran yang berenzim”, kata penyelidik tersohor itu.
“Pencapaian dan penerimaan anugerah ini bukan sahaja bertujuan untuk penyelidikan semata-mata malah ianya diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat sejagat”, katanya.
Menurutnya lagi, penyelidikan tersebut telah mendapat banyak pengiktirafan sebelum ini dan memenangi beberapa anugerah pertandingan penyelidikan termasuklah di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2009, Malaysia Technology Expo (MTE) 2010 dan Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2010.
Tambahnya, projek penyelidikan tersebut juga telah berjaya dipatenkan di Malaysia, Korea dan Australia.
Lebih manis lagi, apabila beliau menerima kejayaan berganda tatkala dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi dua kategori iaitu World Life Science Grand Award dan World Biomedical Science Grand Award.
Dalam majlis yang sama, Abdul Latif turut diumumkan sebagai wakil tunggal dari Malaysia yang terpilih dan dilantik oleh Korea Invention Academy (KIA) sebagai Profesor Kunjungan kepada Akademi Harta Intelek Korea.
Anugerah tersebut diterima beliau semasa Majlis Korea Inventor Award Festival 2015 (KIAF 2015) yang berlangsung di Seoul, Korea baru-baru ini.
KIAF 2015 dianjurkan oleh Korean Inventions News berpengkalan di Korea bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada penerima yang layak dalam pelbagai bidang dan telah memberi sumbangan serta impak kepada sosio-ekonomi termasuk alam sekitar, manusia sejagat dan juga ekonomi.
“Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan menjadi pencetus semangat untuk meneruskan kecemerlangan dalam menyemai bakti kepada universiti tercinta ini,” katanya.
Beliau bertekad untuk terus bergiat aktif dalam penyelidikan seterusnya boleh dikomersialkan serta menyumbang hasil penulisan ke jurnal berimpak tinggi bagi kepentingan masyarakat dan negara.
Mereka yang menerima pengiktirafan termasuklah pelajar yang dikenali sebagai saintis muda atau tunas, profesor, saintis, penyelidik, doktor dan golongan profesional lain dari serata dunia melalui penemuan teknologi baru, rekacipta, inovasi dan kreativiti yang dapat memberi impak bermanfaat kepada masyarakat serta alam sekitar.
Anugerah yang diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mereka dalam bidang-bidang yang tertentu.
Teks: Mohd Kamil Ashar
Foto: Ihsan Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad
Sumber asal : http://www.eng.usm.my/index.php/en/more-articles/181-pensyarah-usm-raih-anugerah-antarabangsa