Prestasi Penarafan QS Melonjak, NC Seru Semua Tingkatkan Kecemerlangan
PULAU PINANG, 23 Mac 2016 - Penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2016 menyaksikan prestasi Universiti Sains Malaysia (USM) semakin meningkat dan program Kejuruteraan Kimia tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia (tangga ke-46).
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM secara keseluruhannya telah meningkatkan prestasinya yang mana daripada lebih 40 program pengajiannya, 39 program telah dinilai, 22 program berada di kedudukan 200-300 kelompok terbaik dunia, sembilan di kelompok 100 terbaik dan satu program mendapat kedudukan ke-46.
Omar berkata, USM adalah sebuah universiti yang komprehensif berasaskan sains dan teknologi yang telah dinilai dalam pelbagai subjek dan sehingga kini banyak mata pelajarannya sudah dapat menembusi kelompok terbaik dunia.
Katanya, USM turut mengambil maklum program-program seperti perubatan, kejuruteraan elektrik dan mekanik, sains komputer, sains, senibina, farmasi, pendidikan dan sebagainya turut mempamerkan kecemerlangan dalam penarafan QS.
“USM akan terus melonjakkan prestasinya berkat dari daya usaha dan kerja keras semua pihak termasuk ahli-ahli akademik dari pelbagai pusat pengajian serta pelajar-pelajar yang dilahirkan USM.
“Saya juga menyeru agar semua pihak untuk terus mencemerlangkan USM dan meningkatkan reputasi menara ilmu ini serta menerbitkan penerbitan berimpak tinggi yang akan melonjakkan prestasi ke persada dunia,’’ katanya.
Tambahnya, USM telah pun berada di kelompok dunia dan perlu lebih bekerja keras bersama-sama untuk menjadi yang terbaik dalam segala lapangan.
Selain itu, Omar turut menzahirkan penghargaan atas komitmen warga USM dalam memacu kecemerlangan dan merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah universiti bertaraf global.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Artikel asal : http://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/3524-prestasi-penarafan-qs-melonjak-nc-seru-semua-tingkatkan-kecemerlangan